Setiap insan berkeinginan untuk membina keluarganya sendiri iaitu melalui sebuah perkahwinan. Pada asasnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan sebahagian daripada hukum Allah. Melalui perkahwinan ini, maka terbentuklah sebuah keluarga. Persoalannya, sejauh manakah pengetahuan pasangan suami isteri itu dalam aspek gaya keibubapaan bagi membentuk keluarga yang utuh dan harmoni.
Kini, memang tidak dapat dinafikan pada era globalisasi banyak cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak dan mengekalkan keutuhan serta keharmonian keluarga. Pembentukkan sahsiah anak yang baik terletak di tangan ibu bapa. Kejayaan ibu bapa dalam mendidik dan membentuk anak yang berbudi pekerti, sebenarnya banyak bergantung kepada sikap keseluruhan ibu bapa terhadap masa keibubapaan di mana ia amat mempengaruhi pengalaman dan perkembangan anak tersebut apabila meningkat dewasa kelak.
Menurut Diana Baumrind, pelopor cara gaya keibubapaan, terdapat tiga jenis gaya keibubapaan yang utama iaitu autoritarian, permisif dan autoritatif. Elemen utama dalam mengenalpasti jenis corak gaya keibubapaan yang diamalkan oleh ibu bapa adalah berdasarkan aspek peraturan keluarga, kawalan terhadap tingkah laku anak, tahap penerimaan, perbincangan dan sikap tolak ansur ibu bapa. Justeru, dalam laman ini, ingin saya berkongsi mengenai corak gaya keibubapaan tersebut.
Keibubapaan autoritarian merujuk kepada ibu bapa yang mengenakan kawalan yang ketat terhadap anak mereka, tidak bertolak ansur atau fleksibel dalam mendidik anak. Corak ini juga dikenali sebagai 'kuku besi'. Ibu bapa akan menentukan peraturan atau undang-undang keluarga dan nilai yang perlu diikuti oleh anak. Peraturan yang telah ditetapkan tidak boleh dipersoalkan oleh anak-anak dan kuasa adalah mutlak di tangan ibu bapa. Ini bermaksud, apabila anak melanggar peraturan yang telah ditetapkan, anak tersebut tetap akan dihukum tanpa penjelasan terhadap kesalahannya dan anak tidak boleh membantah hukuman tersebut walaupun bukan kesalahan dirinya. Ibu bapa yang mengamalkan corak keibubapaan ini biasanya menggunakan kaedah disiplin yang berbentuk hukuman. Kesannya, anak yang dididik secara autoritarian mempercayai bahawa keputusan ibu bapa tidak boleh dibantah dan mematuhinya tanpa menyoal. Maka, anak-anak ini cenderung menjadi terlalu bergantung kepada keputusan dan arahan ibu bapa.
Keibubapaan permisif merujuk kepada gaya keibubapaan yang lebih menggalakkan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa permisif ini tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas, tidak menjelaskan tingkah laku yang baik dan sebaliknya. Ibu bapa ini juga, kurang menggunakan kuasa, kekerasan, kawalan, penjelasan atau permintaan terhadap anak. Biasanya ibu bapa ini berperanan untuk memenuhi keperluan anak. Ini bermaksud, ibu bapa memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak tanpa memberi penjelasan terhadap aktiviti yang dilakukan itu baik atau tidak. Dengan kata lain, ibu bapa ini lebih menurut kata anak. Oleh demikian, anak yang dibesarkan secara permisif ini mempunyai kebebasan sepenuhnya dan mereka kurang terkongkong dengan permintaan dan aktiviti keluarga.
Keibubapaan autoritatif pula merupakan gabungan gaya keibubapaan autoritarian dan permisif. keibubapaan autoritatif ini merujuk kepada gaya keibubapaan yang memberi peluang untuk anak membuat keputusan dengan syarat, peraturan keluarga yang telah ditetapkan perlu dipatuhi. Walau bagaimanapun, ibu bapa jenis ini membenarkan komunikasi terbuka antara mereka dan anak. Ibu bapa jenis ini, lebih bersikap terbuka, lebih rasional dan fleksibel dalam mendidik anak-anak. Anak-anak ini sentiasa dididik agar berdikari. Namun demikian, kawalan yang tegas tetap ditentukan disamping kebebasan diberi secara beransur bersesuaian dengan tahap kematangan anak.
Tuntasnya, ibu bapa yang berjaya sentiasa menerima kehadiran anak, mendidik dan memberikan kasih sayang serta menjalankan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T sebaik yang mungkin. Tugas ibu bapa adalah sepanjang hayat. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah bebanan tugas dibawa. Ibu bapa yang berjaya mengendalikan perhubungan antara ibu bapa dan anak, Insyaallah akan lahirnya sebuah keluarga yang mesra dan harmoni serta dapat menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan genarasi seterusnya. Maka, fikir-fikirlah corak keibubapaan manakah yang anda ingin praktiskan untuk membentuk sahsiah anak-anak. Sebelum itu, anda sendiri perlu mengubah diri dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Anak-anak ini, belajar daripada pemerhatiannya. Bak kata pepatah 'bagaimana acuan, begitulah kuihnya'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan